| MENGIKUT kajian sains penyakit histeria berpunca daripada kecelaruan mental dan kemurungan tinggi hingga menyebabkan seseorang itu hilang kawalan terhadap emosi, lalu ia diluahkan dalam bentuk keterlaluan seperti menjerit dengan sesetengahnya membabitkan keganasan fizikal. | |
| Pendedahan demi pendedahan berhubung perkara ini menampakkan masyarakat Melayu yang sering diserang kemelut ini khususnya sering terjadi kepada pelajar perempuan, sehingga ia dikaitkan pula dengan bangsa. | |
| Kebetulan perkataan histeria berasal daripada perkataan hystrion yang bermaksud rahim wanita dan sememangnya kedudukan rahim dalam tubuh wanita boleh mempengaruhi emosi mereka terutama jika mereka berada dalam keadaan murung seperti selepas bersalin yang berkesudahan dengan angin meroyan. | |
| Berbeza dengan saka, santau atau sihir, histeria disebabkan gangguan makhluk halus yang tidak bertuan manakala daripada sudut kesihatan psikologi, ia ditakrif sebagai gangguan kesihatan dengan tahap kesedaran mereka berubah dan hilang sehingga individu itu menunjukkan perilaku, emosi dan pemikiran tidak normal. | |
| Berjangkitnya histeria ke khalayak ramai pula berlaku apabila golongan itu memiliki banyak persamaan seperti corak pemikiran dan tekanan sama, rakan sebaya, jantina serupa, manakala bagi mereka yang memiliki kekuatan tenaga dalaman dan minda bawah sedar, jarang diserang histeria. | |
| Ketua Jabatan Psikiatri, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya (UM), Prof Dr Mohamad Hussain Habil, menafikan histeria hanya menyerang bangsa Melayu, sebaliknya berlaku di semua negara seluruh dunia termasuk di barat, tetapi bilangan kes semakin berkurangan apabila sesebuah negara atau masyarakat melalui era modenisasi. | |
| "Sebagai negara yang masih melalui proses membangun, masyarakat kita terutamanya bangsa Melayu masih didominasi masalah pertembungan pemikiran. Kes yang berlaku pada masa kini berbanding 20 tahun lalu, menunjukkan peratusan menurun," katanya. | |
| Kes histeria pada 1980-an dikatakan banyak berlaku di Malaysia dengan jumlah tertinggi di kilang, sekolah berasrama dan minggu orientasi akibat penghijrahan masyarakat kampung ke bandar selain kepercayaan terhadap perkara mistik ketika itu masih kuat. | |
| "Kes membabitkan pekerja kilang, biasanya berlaku pada waktu malam dan dipercayai kerana faktor keletihan selain ketakutan apabila sering disogok dengan cerita hantu sehingga mengganggu fikiran mereka," katanya. | |
| Baginya kajian khusus mengenai kes histeria di sekolah sejak kebelakangan ini bagi menilai sama ada ia satu epidemik atau tidak, selain melihat bagaimana ia boleh berlaku di sekolah walaupun masyarakat Malaysia kini semakin maju. | |
| "Setiap sekolah yang sering berlaku kejadian histeria perlu merujuk masalah ini kepada pakar psikologi, kaunselor dan psikiatri kerana penyakit ini bermula daripada tekanan dan gangguan mental yang tidak terkawal. Bagaimanapun, saya tidak menafikan keperluan menggunakan pakar agama atau bomoh bertauliah untuk merawat penyakit ini," jelasnya. | |
| Pensyarah Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Abd Ghafar Don, berkata histeria mengikut perspektif Islam merujuk kepada keadaan manusia tidak sedar dan dirasuk akibat gangguan emosi, lalu memberi ruang kepada syaitan menguasai akal fikiran. | |
| "Saya tidak menafikan kebanyakan kes histeria yang berlaku membabitkan sekolah agama kerana iblis lebih suka mengganggu emosi orang yang beriman, tetapi hakikatnya ia boleh berlaku di setiap tempat dan kepada sesiapa juga sebenarnya," katanya. | |
| Beliau juga tidak menolak kemungkinan, histeria berlaku kerana manusia mengganggu tempat tinggal atau kawasan makhluk halus yang menyebabkan mereka bertindak balas termasuk merasuk manusia, selain faktor yang diakibatkan oleh masalah psikologi. | |
| "Bagi mengelakkan kejadian sedemikian berlaku, umat Islam perlu mempersiapkan diri dengan sentiasa berzikir, membaca al-Quran, mengamalkan tiga Qul dan ayat Kursi sebagai pendinding. Sekolah wajar memperbanyakkan program kerohanian seperti majlis bacaan Yasin, qiamulail dan solat hajat, bukan pada bulan tertentu saja," katanya. | |
TerompahBuruk
Friday, December 6, 2013
Histeria: Lemah Kekuatan Minda?
Syahadah Gadis Ateis - Tiga Tahun Yang Masih Segar
Saya mengulas mengenai karya ini tiga tahun yang lalu.... semoga karya ini masih segar dalam ingatan pembaca...
Teruna dan dara itu digambarkan pengarang sempat berbahas mengenai pelbagai isu agama yang sering menjadi pertikaian orang bukan Islam sehingga menyebabkan sesetengah umat Islam lebih sesat daripada bukan Islam.
Tidak seperti novel Islami yang lain, penciptaan watak Nizam sebagai pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Shah Alam yang berpengetahuan tinggi mengenai isu agama digarap menggunakan watak rockers berambut panjang yang sentiasa membawa gitar kapok di sisinya.
Rini pula digambarkan sebagai gadis periang yang bersifat sederhana dan tidak bertudung, tetapi mempunyai pelbagai keraguan terhadap agama Islam akibat didikan ibu bapanya yang membelakangkan pendidikan ajaran agama.
Persepsi pertama gadis itu terhadap Nizam sebagai seorang kaki lepak dan remaja memberontak jiwanya ternyata meleset apabila setiap persoalan mengenai hal agama dijawab secara terperinci sehingga memeranjatkannya kerana penampilannya begitu selekeh, tetapi bijak dalam hal agama.
Pembaca dibawa pengarang mengembara dengan asakan Rini kepada Nizam lewat seribu satu macam soalan yang mempersoalkan kewujudan Allah SWT, tetapi dikupas secara berhemah oleh pemuda terbabit sehingga mengejutkannya.
Kebijaksanaan penulis menggarap hujah Nizam dengan analisis perbandingan sifat dan kekuasaan Allah SWT dan tuhan berhala Latta dan Uzza, turut diperkukuhkan lagi dengan bukti kewujudan Allah SWT melalui ayat Kursi dan surah al-Baqarah.
Tidak sekadar itu, penerangan Nizam kepada Rini mengenai perbezaan Muslim dan Mukmin sudah pasti akan mengingatkan pembaca bahawa kadangkala manusia hanya berpegang sebagai Muslim hanya pada nama.
Isu berkaitan hak wanita seperti poligami yang dijadikan bahan media Barat untuk memperlekehkan Islam sebagai agama yang menindas wanita melalui persoalan mengenai ketidakadilan dalam isu hak wanita dalam Islam berbanding lelaki yang dilihat mempunyai kelebihan berkahwin empat.
Hujah yang diketengahkan penulis melalui perwatakan Nizam mengenai isu poligami dalam Islam diperkuatkan berdasarkan surah an-Nisak, ayat 3 yang menerangkan tujuan utama perkahwinan dan bagaimana lelaki dapat melindungi wanita melalui poligami.
Setiap perincian antara dialog Rini dan Nizam tidak hanya membincangkan persoalan umum, malahan mengukuhkan lagi rasional hukum hudud yang dianggap sudah tidak lagi relevan dan menjadi alat permainan ahli politik yang seolaholah memperlekehkan hukum Allah.
Sekiranya pembaca memahami konsep yang ingin disampaikan penulis, sudah pasti mereka akan berfikir betapa Islam agama yang adil dan rasional jika hukum itu dilaksanakan pada hari ini, tanpa memerlukan kempen antijenayah atau membanteras maksiat.
Pelbagai Fakta yang dikemukakan Nizam berhubung persoalan agama berjaya meyakinkan Rini terhadap kewujudan Allah SWT dan keadilan Islam untuk umatnya sehingga Rini akhirnya terkunci mulut dengan hujah yang disampaikan Nizam.
Novel ini berakhir dengan pengakuan Rini yang berhasrat ke Pulau Pinang untuk menemui bekas paderi, Josiah, tetapi setibanya di sana menukar keputusannya dan bersyukur dengan bantuan Nizam kerana Rini akhirnya memahami dan yakin bahawa agama Islam asas penting kepadanya.
Kehadiran novel ini dalam pasaran buku tempatan boleh dianggap sebagai usaha berdakwah secara ringan dengan memberi panduan kepada masyarakat khususnya generasi muda dalam menangani perdebatan dengan orang kafir mengenai soal agama.
Justeru, tidak hairanlah sekiranya novel ini menarik perhatian ramai pembaca kerana kebijaksanaan penulis memasukkan ayat dari Bible sebagai perbandingan, penyelitan ayat al-Quran berserta penjelasan dan fakta saintifik, meyakinkan dan pada masa turut diselitkan unsur humor.
Karya ini layak diberi pujian kerana penulisnya berani mengambil langkah dalam membawa plot berbeza daripada kebanyakan novel Islami di pasaran, jalan cerita yang segar dan dapat memahami beberapa persoalan dan jawapan mengenai agama Islam.
Thursday, December 5, 2013
Kerja Rumah Tugas Siapa? - Antara Agama dan Budaya
BUKU Fatwa-Fatwa Mufti Kerajaan Johor karya Datuk Syed Alawi Tahir al-Haddad, cetakan ketiga yang diterbitkan pada 1981 menyatakan tidak wajib atas isteri menjalankan kerja seperti membersih rumah, mencuci pakaian, mengasuh anak-anak dan menyediakan makanan.
Sekiranya isteri melakukan semua itu, mereka berhak menuntut gantian dengan harga sebagai upah dan penulisnya menerusi buku itu menjelaskan, kewajipan isteri hanya taat kepada suami bagi memuaskan kehendaknya dan tinggal dalam rumah serta tidak boleh keluar tanpa izin.
Maklumat ini yang tertera dalam halaman 184 hingga 185, pasti mengejutkan pembaca yang kurang arif berhubung perkara terbabit atau tidak pernah mendengarnya sebelum ini, selain perkara sedemikian akan dilihat sebagai di luar kebiasaan atau dayus jika dilihat daripada kaca mata budaya Melayu.
Ini kerana menjadi adat resam dan budaya dalam masyarakat Melayu sejak berzaman, isteri akan bertanggungjawab menguruskan segala kerja rumah manakala tugas berat dibantu suami yang tugas utamanya mencari nafkah demi kelangsungan seisi keluarga.
Bagaimanapun, perubahan zaman, kini menyaksikan sesetengah suami dalam masyarakat Melayu sudah mula pandai berkongsi tanggungjawab melaksanakan kerja rumah tangga apatah lagi, isteri kini turut membantu memperkukuhkan ekonomi keluarga dengan sedia bekerja atau berniaga.
Malahan, pencapaian wanita yang lebih menggalakkan dalam pendidikan pada era kini memungkinkan mereka menjawat jawatan penting dan gaji lumayan, lalu masalah mendapatkan pembantu rumah bertanggungjawab dalam menguruskan anak dan rumah, memaksa sesetengah suami berpendapatan rendah melepaskan jawatan dan menguruskan rumah tangga.
Pensyarah Psikologi Perkembangan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Asmah Bee Md Noor, berkata senario suami mula membantu isteri melakukan kerja rumah dan suami sepenuh masa dapat membantu ke arah pembentukan institusi kekeluargaan yang sihat.
"Senario ini bukan lagi kejanggalan bagi masyarakat Malaysia termasuk Melayu kerana situasi wanita berkahwin dengan lelaki berpendapatan lebih rendah menuntut perubahan sebegini. Tidak salah wanita memegang tanggungjawab mencari nafkah keluarga selagi mereka ikhlas untuk membantu," katanya pada pertemuan dengan Sastera di Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, UKM, Bangi, baru-baru ini.
Baginya, budaya Melayu yang meletakkan tanggungjawab mengurus rumah tangga di bahu wanita hingga menyebabkan golongan adam menganggap tugas mereka terhad kepada menyara keluarga dan tugas itu kekal, meskipun mereka menyumbang ke arah memantapkan ekonomi keluarga dengan bekerja.
Justeru, golongan suami dinasihatkan agar memahami keupayaan wanita dengan tidak membiarkan mereka tertekan kerana fizikal wanita terhad kepada sesetengah perkara saja berbanding lelaki serta perlu ringan tulang dalam pelaksanaan tugas rumah tangga.
"Ibu bapa wajar mendidik anak pada peringkat awal perkembangan mereka bahawa setiap tugas dalam rumah tangga tanggungjawab bersama dan boleh bertukar. Tanggapan bahawa wanita bertanggungjawab sepenuhnya dalam tugas rumah perlu diperbetulkan dengan mengadakan seminar kekeluargaan dan menyelitkannya dalam kursus perkahwinan," jelasnya.
Pensyarah Akademi Pengajian Islam (Api), Universiti Malaya (UM), Prof Dr Wan Zailan Kamaruddin Wan Ali, mengakui bahawa tanggungjawab mencari nafkah keluarga sewajarnya dipegang suami selaku ketua dalam rumah tangga, tetapi tidak bermakna mereka wajar membiarkan isteri bersendirian dalam menguruskan kerja rumah.
"Sebenarnya agama Islam mempertanggungjawabkan suami melaksanakan urusan rumah tangga. Pemikiran masyarakat Melayu yang lebih mengutamakan budaya berbanding ajaran agama Islam menyebabkan masyarakat Melayu sering terlepas pandang perkara ini," ujarnya.
Baginya, salah tanggap berhubung tugas rumah tangga boleh diatasi dengan memberi penjelasan secara mendalam berhubung perkara terbabit kepada masyarakat bersandarkan ajaran agama Islam sebenarnya, tanpa dipengaruhi unsur budaya bagi mengelakkan wanita daripada memegang tanggungjawab lebih daripada sepatutnya.
"Ada sesetengah suami enggan membantu isteri kerana takut dituduh menurut telunjuk isteri. Suami perlu mengetepikan perasaan malu dan ego dalam membantu isteri menguruskan rumah tangga. Mereka tidak sedar fungsi mereka dalam pembentukan keluarga sebenarnya lebih besar," jelasnya.
Tahfiz Lil Aytam Didik Jiwa Belia
TAHFIZ Lil Aytam di Lorong Melati, di sini, mempunyai kaedah tersendiri membantu ibu bapa yang tinggal di kawasan berdekatan memanfaatkan cuti persekolahan anak mereka.
Ini dilakukan dengan penganjuran beberapa program keagamaan bermula minggu lalu, antaranya Kem Asas Tahfiz, yang disertai lebih 75 kanak-kanak sekitar Selangor dengan matlamat utama melahirkan generasi muda yang memahami asas Islam.
Pengetuanya, Susi Nurani Razikin, berkata program tahunan kali kedua selama sebulan itu mendapat sambutan menggalakkan apabila seramai 75 pelajar berusia antara tujuh hingga 20 tahun menyertainya.
Katanya, menerusi program ini, kanak-kanak mengikuti ceramah motivasi, amali asas solat dan semua perkara berkaitan fardu Ain dan Kifayah, selain berpeluang menunggang kuda, memanah, berenang dan berkebun.
“Kami sentiasa berusaha membantu ibu bapa mengelakkan generasi muda terjebak gejala sosial, terutama sepanjang cuti persekolahan dengan menjadikan aktiviti keagamaan sebagai teras pendidikan dalam keluarga,” katanya di sini, semalam.
Program itu dikendalikan 22 tenaga pengajar dan mengenakan bayaran RM550.
Berdasarkan pengalaman menganjurkan program berkenaan sebelum ini, Susi berkata, kebanyakan pelajar yang menyertai program itu berjaya mendapat manfaat apabila mampu membaca al-Quran dengan baik dan mendapat pujian ibu bapa.
"Berjuang di dunia, nanti kita berehat di syurga" - Ahmad Ammar Ahmad Azam
BERJUANG di dunia, nanti kita berehat di syurga. Kata-kata itu menjadi falsafah hidup dan pendorong kepada Allahyarham Ahmad Ammar Ahmad Azam, 20, dalam memperjuangkan Islam.
Tatkala anak muda lain tercari-cari identiti dan hala tuju hidup, Ammar sudah mengembara untuk menimba ilmu dan pengalaman serta melakukan kebajikan menerusi kerja sukarelawan kepada masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa.
Malah, sehingga akhir hayatnya, beliau masih berbakti kepada masyarakat apabila maut dalam kemalangan pada 2 November lalu ketika dalam perjalanan mengajar pelajar baru mengenai tafsir al-Quran risalah An-Nur di Madrasah Hayrat Vakfi.
Tidak hairanlah kisah perjuangannya mendapat liputan meluas menerusi rangkaian laman sosial hinggakan pemergiannya diangkat setinggi pemimpin agung Islam dan ditempatkan bersama sahabat-sahabat nabi di Eyub Sultan, Turki.
Ammar menjadi satu-satunya jenazah rakyat Malaysia yang dikebumikan di pinggir Konstantinople bahkan disemadikan bersebelahan dengan makam Saidina Abu Ayub al-Ansari iaitu sahabat Rasulullah yang meninggal dunia ketika menyertai perang jihad fisabillah pada 674 Masihi.
Kesan Pemergian Ammar
Bagi bapanya, Ahmad Azam Abd Rahman, 53, pemergian anaknya bukan saja membuka mata manusia kepada kebaikan tetapi meninggalkan kesan mendalam kepada umat Islam.Azam yang juga bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berkata beliau bersyukur kerana pemergian anaknya itu membuka mata masyarakat dunia terhadap umat Islam di negara ini.
“Sekiranya dulu pelajar Malaysia di Mesir mengalami kesukaran untuk melanjutkan pelajaran ke Turki, kini jalan mereka dipermudahkan.
“Bukan itu saja, kerja dakwah semakin dipermudahkan apabila ramai yang tampil menghulur bantuan kepada umat Islam,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini, baru-baru ini.
Mengenang semula saat bersama Ammar, Azam berkata lawatannya ke Turki atas urusan kerja pada Oktober lalu menjadi ingatan terakhir bersama anaknya.
“Saya sempat meluangkan masa bersamanya selama tiga hari melawat tempat bersejarah di Istanbul. Ketika itu, saya dapat merasakan seperti ada sesuatu yang ingin diperkatakan tetapi tidak terluah menerusi kata-kata.
“Bahkan ketika beliau pulang bercuti pada pertengahan Julai lalu, sikapnya berubah daripada seorang yang pendiam kepada lebih ramah,” katanya.
Selain mengikuti misi kemanusiaan dan membabitkan diri dalam program ilmu, Azam berkata, Ammar memanfaatkan cutinya dengan melawat semua saudara dan rakan sekolahnya seolah-olah mahu mengucapkan selamat tinggal kepada mereka.
Dalam tempoh itu juga, Ammar gemar mengambil gambar bersama tokoh terkenal dan idolanya yang mana berbeza dengan sikapnya yang jarang bergambar dan pemalu.
Meskipun tidak banyak masa dapat diluangkan bersama arwah, beliau berkesempatan menatap raut wajah Ammar kali terakhir sebelum dikebumikan.
“Tenang hati melihat wajah Ammar masih berpeluh walaupun ketika itu sudah 46 jam menemui ajal kerana hadis ada menyebut tanda-tanda orang yang mati dalam keadaan baik adalah berpeluh,” katanya.
Seperti bapanya, ibunya, Nur Azlina Abdul Aziz, 52, berkata beliau tidak terlalu bersedih kerana kematian anaknya menjadi inspirasi kepada ramai lagi remaja lain untuk turut sama memperjuangkan Islam.
Mengakui masih terkejut dengan impak dibawa Ammar itu, Azlina berkata arwah sama seperti remaja lain tetapi keperibadian dan pemikirannya lebih matang berbanding remaja seusianya.
Katanya, Ammar mengambil pendekatan mudah dalam pergaulan iaitu hanya bercakap bila perlu dan sentiasa mengisi masa dengan perkara berfaedah.
“Selain aktif dengan aktiviti sukan seperti taekwando, takraw dan berenang, masanya diseimbangkan dengan amalan soleh seperti solat sunat, membaca al-Quran sekurang-kurangnya 20 muka surat sehari, menghafaz al-Quran, membaca risalah An-Nur dan menghadiri majlis ilmu.
“Sikapnya yang berdisiplin membolehkan beliau khatam sepenuhnya risalah An-Nur dalam tempoh lapan bulan sedangkan agak sukar untuk seseorang mengkhatam dalam masa singkat,” katanya.
Beliau turut menambah, arwah yang bercita-cita menjadi pengkaji tamadun Islam menjadikan Sultan Muhammad al-Fatih sebagai rujukan dalam hidup.
“Saya pernah bergurau yang Ammar mempunyai masa setahun lagi untuk menyumbang sesuatu kepada umat Islam seperti Sultan Muhammad al-Fatih yang berjaya membina empayar Uthmaniyyah yang bertahan selama 600 tahun pada usia 21 tahun,” katanya.
Minat Mengkaji Tamadun Turki
MINAT arwah dalam sejarah tamadun Islam dunia selain terdorong daripada wawasan bapanya yang menjadikan Sultan Muhammad al-Fatih sebagai rujukan hidup membawa Ahmad Ammar ke Turki untuk mendalami ilmu-ilmu Daulah Uthmaniyyah.
Berpegang kepada matlamat untuk mengkaji dan menguasai sejarah bangsa dan negara Turki, Ammar menyertai Kelab Generasi Pemuda Tamadun Dunia (GPTD) yang diasaskan Ahmad Azam dalam usaha membangkitkan kesedaran masyarakat mengenai kehebatan tamadun Islam.
Presiden GPTD, Muhammad Suhail Ahmad juga abang ipar kepada Ammar berkata arwah berperanan sebagai wakil GPTD di Turki dengan matlamat membawa kegemilangan sejarah Turki kepada umat Islam.
Beliau berkata pada usia muda Ammar sudah memahami kepentingan sejarah Islam dalam pembentukan budaya, cara kerja dan pemikiran sesuatu kaum.
“Ammar berhasrat membuka lembaran sejarah tamadun Islam bukan untuk mengubat hati disebabkan kemunduran yang menimpa umat Islam sekarang, tetapi bagi memperbaiki dan membangun masa depan ke arah kejayaan serta kecemerlangan,” katanya.
Malah, katanya, dari aspek sejarah, perkembangan pergerakan dakwah di Malaysia mempunyai hubung kait yang amat dekat dengan realiti kemunduran peradaban umat Islam akibat kejatuhan khalifah Uthmaniyyah sekitar abad ke-15.
Memuji kematangan pemikiran Ammar, Suhail berkata cara pemikirannya melangkaui batas masa dan kualiti itu yang harus diterapkan pada setiap golongan muda hari ini.
“Memang fitrah generasi Y kurang meminati sejarah atau perkara nostalgia kerana keadaan semasa yang melahirkan generasi muda tidak suka kepada perkara lama dan perlahan.
“Tetapi Ammar nampak semua itu dan terus mengkaji sumbangan tamadun Islam kepada kemajuan hari ini yang cuba ditutup oleh ahli sejarah Barat,” katanya.
Mengulas mengenai persatuan itu, Suhail berkata GPTD berperanan melatih generasi muda sebagai pekerja sosial dan penyelidik tamadun dunia yang mana idea penubuhannya adalah menawarkan alternatif kepada generasi muda untuk menerokai dunia.
“Setiap individu yang menyertai kami akan dilengkapi dengan kemahiran asas sukarelawan dan latihan untuk mereka berkelayakan saja boleh menyertai projek utama di Amerika Sepanyol, Perancis, China, Turki dan Australia.
“Kini kami (GPTD) mempunyai hampir 400 ahli dari dalam dan luar negara. Bagi golongan muda yang minat dengan sejarah dunia dan ingin mengikut jejak langkah Ammmar, boleh menyertai kami dengan menghubungi talian rasmi GPTD di 0176665958 atau layari www.gptd.blogspot,” katanya.
Subscribe to:
Posts (Atom)






