Saya mengulas mengenai karya ini tiga tahun yang lalu.... semoga karya ini masih segar dalam ingatan pembaca...
Teruna dan dara itu digambarkan pengarang sempat berbahas mengenai pelbagai isu agama yang sering menjadi pertikaian orang bukan Islam sehingga menyebabkan sesetengah umat Islam lebih sesat daripada bukan Islam.
Tidak seperti novel Islami yang lain, penciptaan watak Nizam sebagai pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Shah Alam yang berpengetahuan tinggi mengenai isu agama digarap menggunakan watak rockers berambut panjang yang sentiasa membawa gitar kapok di sisinya.
Rini pula digambarkan sebagai gadis periang yang bersifat sederhana dan tidak bertudung, tetapi mempunyai pelbagai keraguan terhadap agama Islam akibat didikan ibu bapanya yang membelakangkan pendidikan ajaran agama.
Persepsi pertama gadis itu terhadap Nizam sebagai seorang kaki lepak dan remaja memberontak jiwanya ternyata meleset apabila setiap persoalan mengenai hal agama dijawab secara terperinci sehingga memeranjatkannya kerana penampilannya begitu selekeh, tetapi bijak dalam hal agama.
Pembaca dibawa pengarang mengembara dengan asakan Rini kepada Nizam lewat seribu satu macam soalan yang mempersoalkan kewujudan Allah SWT, tetapi dikupas secara berhemah oleh pemuda terbabit sehingga mengejutkannya.
Kebijaksanaan penulis menggarap hujah Nizam dengan analisis perbandingan sifat dan kekuasaan Allah SWT dan tuhan berhala Latta dan Uzza, turut diperkukuhkan lagi dengan bukti kewujudan Allah SWT melalui ayat Kursi dan surah al-Baqarah.
Tidak sekadar itu, penerangan Nizam kepada Rini mengenai perbezaan Muslim dan Mukmin sudah pasti akan mengingatkan pembaca bahawa kadangkala manusia hanya berpegang sebagai Muslim hanya pada nama.
Isu berkaitan hak wanita seperti poligami yang dijadikan bahan media Barat untuk memperlekehkan Islam sebagai agama yang menindas wanita melalui persoalan mengenai ketidakadilan dalam isu hak wanita dalam Islam berbanding lelaki yang dilihat mempunyai kelebihan berkahwin empat.
Hujah yang diketengahkan penulis melalui perwatakan Nizam mengenai isu poligami dalam Islam diperkuatkan berdasarkan surah an-Nisak, ayat 3 yang menerangkan tujuan utama perkahwinan dan bagaimana lelaki dapat melindungi wanita melalui poligami.
Setiap perincian antara dialog Rini dan Nizam tidak hanya membincangkan persoalan umum, malahan mengukuhkan lagi rasional hukum hudud yang dianggap sudah tidak lagi relevan dan menjadi alat permainan ahli politik yang seolaholah memperlekehkan hukum Allah.
Sekiranya pembaca memahami konsep yang ingin disampaikan penulis, sudah pasti mereka akan berfikir betapa Islam agama yang adil dan rasional jika hukum itu dilaksanakan pada hari ini, tanpa memerlukan kempen antijenayah atau membanteras maksiat.
Pelbagai Fakta yang dikemukakan Nizam berhubung persoalan agama berjaya meyakinkan Rini terhadap kewujudan Allah SWT dan keadilan Islam untuk umatnya sehingga Rini akhirnya terkunci mulut dengan hujah yang disampaikan Nizam.
Novel ini berakhir dengan pengakuan Rini yang berhasrat ke Pulau Pinang untuk menemui bekas paderi, Josiah, tetapi setibanya di sana menukar keputusannya dan bersyukur dengan bantuan Nizam kerana Rini akhirnya memahami dan yakin bahawa agama Islam asas penting kepadanya.
Kehadiran novel ini dalam pasaran buku tempatan boleh dianggap sebagai usaha berdakwah secara ringan dengan memberi panduan kepada masyarakat khususnya generasi muda dalam menangani perdebatan dengan orang kafir mengenai soal agama.
Justeru, tidak hairanlah sekiranya novel ini menarik perhatian ramai pembaca kerana kebijaksanaan penulis memasukkan ayat dari Bible sebagai perbandingan, penyelitan ayat al-Quran berserta penjelasan dan fakta saintifik, meyakinkan dan pada masa turut diselitkan unsur humor.
Karya ini layak diberi pujian kerana penulisnya berani mengambil langkah dalam membawa plot berbeza daripada kebanyakan novel Islami di pasaran, jalan cerita yang segar dan dapat memahami beberapa persoalan dan jawapan mengenai agama Islam.

No comments:
Post a Comment