Thursday, December 5, 2013

"Berjuang di dunia, nanti kita berehat di syurga" - Ahmad Ammar Ahmad Azam

 

 



BERJUANG di dunia, nanti kita berehat di syurga. Kata-kata itu menjadi falsafah hidup dan pendorong kepada Allahyarham Ahmad Ammar Ahmad Azam, 20, dalam memperjuangkan Islam.
  Tatkala anak muda lain tercari-cari identiti dan hala tuju hidup, Ammar sudah mengembara untuk menimba ilmu dan pengalaman serta melakukan kebajikan menerusi kerja sukarelawan kepada masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa.
  Malah, sehingga akhir hayatnya, beliau masih berbakti kepada masyarakat apabila maut dalam kemalangan pada 2 November lalu ketika dalam perjalanan mengajar pelajar baru mengenai tafsir al-Quran risalah An-Nur di Madrasah Hayrat Vakfi.
  Tidak hairanlah kisah perjuangannya mendapat liputan meluas menerusi rangkaian laman sosial hinggakan pemergiannya diangkat setinggi pemimpin agung Islam dan ditempatkan bersama sahabat-sahabat nabi di Eyub Sultan, Turki.
  Ammar menjadi satu-satunya jenazah rakyat Malaysia yang dikebumikan di pinggir Konstantinople bahkan disemadikan bersebelahan dengan makam Saidina Abu Ayub al-Ansari iaitu sahabat Rasulullah yang meninggal dunia ketika menyertai perang jihad fisabillah pada 674 Masihi.

Kesan Pemergian Ammar

 Bagi bapanya, Ahmad Azam Abd Rahman, 53, pemergian anaknya bukan saja membuka mata manusia kepada kebaikan tetapi meninggalkan kesan mendalam kepada umat Islam.
  Azam yang juga bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berkata beliau bersyukur kerana pemergian anaknya itu membuka mata masyarakat dunia terhadap umat Islam di negara ini.
  “Sekiranya dulu pelajar Malaysia di Mesir mengalami kesukaran untuk melanjutkan pelajaran ke Turki, kini jalan mereka dipermudahkan.
  “Bukan itu saja, kerja dakwah semakin dipermudahkan apabila ramai yang tampil menghulur bantuan kepada umat Islam,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini, baru-baru ini.
  Mengenang semula saat bersama Ammar, Azam berkata lawatannya ke Turki atas urusan kerja pada Oktober lalu menjadi ingatan terakhir bersama anaknya.
  “Saya sempat meluangkan masa bersamanya selama tiga hari melawat tempat bersejarah di Istanbul. Ketika itu, saya dapat merasakan seperti ada sesuatu yang ingin diperkatakan tetapi tidak terluah menerusi kata-kata.
  “Bahkan ketika beliau pulang bercuti pada pertengahan Julai lalu, sikapnya berubah daripada seorang yang pendiam kepada lebih ramah,” katanya.
  Selain mengikuti misi kemanusiaan dan membabitkan diri dalam program ilmu, Azam berkata, Ammar memanfaatkan cutinya dengan melawat semua saudara dan rakan sekolahnya seolah-olah mahu mengucapkan selamat tinggal kepada mereka.
  Dalam tempoh itu juga, Ammar gemar mengambil gambar bersama tokoh terkenal dan idolanya yang mana berbeza dengan sikapnya yang jarang bergambar dan pemalu.
  Meskipun tidak banyak masa dapat diluangkan bersama arwah, beliau berkesempatan menatap raut wajah Ammar kali terakhir sebelum dikebumikan.
  “Tenang hati melihat wajah Ammar masih berpeluh walaupun ketika itu sudah 46 jam menemui ajal kerana hadis ada menyebut tanda-tanda orang yang mati dalam keadaan baik adalah berpeluh,” katanya.
  Seperti bapanya, ibunya, Nur Azlina Abdul Aziz, 52, berkata beliau tidak terlalu bersedih kerana kematian anaknya menjadi inspirasi kepada ramai lagi remaja lain untuk turut sama memperjuangkan Islam.
  Mengakui masih terkejut dengan impak dibawa Ammar itu, Azlina berkata arwah sama seperti remaja lain tetapi keperibadian dan pemikirannya lebih matang berbanding remaja seusianya.
  Katanya, Ammar mengambil pendekatan mudah dalam pergaulan iaitu hanya bercakap bila perlu dan sentiasa mengisi masa dengan perkara berfaedah.
  “Selain aktif dengan aktiviti sukan seperti taekwando, takraw dan berenang, masanya diseimbangkan dengan amalan soleh seperti solat sunat, membaca al-Quran sekurang-kurangnya 20 muka surat sehari, menghafaz al-Quran, membaca risalah An-Nur dan menghadiri majlis ilmu.
  “Sikapnya yang berdisiplin membolehkan beliau khatam sepenuhnya risalah An-Nur dalam tempoh lapan bulan sedangkan agak sukar untuk seseorang mengkhatam dalam masa singkat,” katanya.
  Beliau turut menambah, arwah yang bercita-cita menjadi pengkaji tamadun Islam menjadikan Sultan Muhammad al-Fatih sebagai rujukan dalam hidup.
  “Saya pernah bergurau yang Ammar mempunyai masa setahun lagi untuk menyumbang sesuatu kepada umat Islam seperti Sultan Muhammad al-Fatih yang berjaya membina empayar Uthmaniyyah yang bertahan selama 600 tahun pada usia 21 tahun,” katanya.

Minat Mengkaji  Tamadun Turki


MINAT arwah dalam sejarah tamadun Islam dunia selain terdorong daripada wawasan bapanya yang menjadikan Sultan Muhammad al-Fatih sebagai rujukan hidup membawa Ahmad Ammar ke Turki untuk mendalami ilmu-ilmu Daulah Uthmaniyyah.
  Berpegang kepada matlamat untuk mengkaji dan menguasai sejarah bangsa dan negara Turki, Ammar menyertai Kelab Generasi Pemuda Tamadun Dunia (GPTD) yang diasaskan Ahmad Azam dalam usaha membangkitkan kesedaran masyarakat mengenai kehebatan tamadun Islam.
  Presiden GPTD, Muhammad Suhail Ahmad juga abang ipar kepada Ammar berkata arwah berperanan sebagai wakil GPTD di Turki dengan matlamat membawa kegemilangan sejarah Turki kepada umat Islam.
  Beliau berkata pada usia muda Ammar sudah memahami kepentingan sejarah Islam dalam pembentukan budaya, cara kerja dan pemikiran sesuatu kaum.
  “Ammar berhasrat membuka lembaran sejarah tamadun Islam bukan untuk mengubat hati disebabkan kemunduran yang menimpa umat Islam sekarang, tetapi bagi memperbaiki dan membangun masa depan ke arah kejayaan serta kecemerlangan,” katanya.
  Malah, katanya, dari aspek sejarah, perkembangan pergerakan dakwah di Malaysia mempunyai hubung kait yang amat dekat dengan realiti kemunduran peradaban umat Islam akibat kejatuhan khalifah Uthmaniyyah sekitar abad ke-15.
  Memuji kematangan pemikiran Ammar, Suhail berkata cara pemikirannya melangkaui batas masa dan kualiti itu yang harus diterapkan pada setiap golongan muda hari ini.
  “Memang fitrah generasi Y kurang meminati sejarah atau perkara nostalgia kerana keadaan semasa yang melahirkan generasi muda tidak suka kepada perkara lama dan perlahan.
  “Tetapi Ammar nampak semua itu dan terus mengkaji sumbangan tamadun Islam kepada kemajuan hari ini yang cuba ditutup oleh ahli sejarah Barat,” katanya.
  Mengulas mengenai persatuan itu, Suhail berkata GPTD berperanan melatih generasi muda sebagai pekerja sosial dan penyelidik tamadun dunia yang mana idea penubuhannya adalah menawarkan alternatif kepada generasi muda untuk menerokai dunia.
  “Setiap individu yang menyertai kami akan dilengkapi dengan kemahiran asas sukarelawan dan latihan untuk mereka berkelayakan saja boleh menyertai projek utama di Amerika Sepanyol, Perancis, China, Turki dan Australia.
  “Kini kami (GPTD) mempunyai hampir 400 ahli dari dalam dan luar negara. Bagi golongan muda yang minat dengan sejarah dunia dan ingin mengikut jejak langkah Ammmar, boleh menyertai kami dengan menghubungi talian rasmi GPTD di 0176665958 atau layari www.gptd.blogspot,” katanya.

No comments:

Post a Comment