Friday, December 6, 2013

Histeria: Lemah Kekuatan Minda?

  
MENGIKUT kajian sains penyakit histeria berpunca daripada kecelaruan mental dan kemurungan tinggi hingga menyebabkan seseorang itu hilang kawalan terhadap emosi, lalu ia diluahkan dalam bentuk keterlaluan seperti menjerit dengan sesetengahnya membabitkan keganasan fizikal.
  
 Pendedahan demi pendedahan berhubung perkara ini menampakkan masyarakat Melayu yang sering diserang kemelut ini khususnya sering terjadi kepada pelajar perempuan, sehingga ia dikaitkan pula dengan bangsa.
  
 Kebetulan perkataan histeria berasal daripada perkataan hystrion yang bermaksud rahim wanita dan sememangnya kedudukan rahim dalam tubuh wanita boleh mempengaruhi emosi mereka terutama jika mereka berada dalam keadaan murung seperti selepas bersalin yang berkesudahan dengan angin meroyan.
  
 Berbeza dengan saka, santau atau sihir, histeria disebabkan gangguan makhluk halus yang tidak bertuan manakala daripada sudut kesihatan psikologi, ia ditakrif sebagai gangguan kesihatan dengan tahap kesedaran mereka berubah dan hilang sehingga individu itu menunjukkan perilaku, emosi dan pemikiran tidak normal.
  
 Berjangkitnya histeria ke khalayak ramai pula berlaku apabila golongan itu memiliki banyak persamaan seperti corak pemikiran dan tekanan sama, rakan sebaya, jantina serupa, manakala bagi mereka yang memiliki kekuatan tenaga dalaman dan minda bawah sedar, jarang diserang histeria.
  
 Ketua Jabatan Psikiatri, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya (UM), Prof Dr Mohamad Hussain Habil, menafikan histeria hanya menyerang bangsa Melayu, sebaliknya berlaku di semua negara seluruh dunia termasuk di barat, tetapi bilangan kes semakin berkurangan apabila sesebuah negara atau masyarakat melalui era modenisasi.
  
 "Sebagai negara yang masih melalui proses membangun, masyarakat kita terutamanya bangsa Melayu masih didominasi masalah pertembungan pemikiran. Kes yang berlaku pada masa kini berbanding 20 tahun lalu, menunjukkan peratusan menurun," katanya.
  
 Kes histeria pada 1980-an dikatakan banyak berlaku di Malaysia dengan jumlah tertinggi di kilang, sekolah berasrama dan minggu orientasi akibat penghijrahan masyarakat kampung ke bandar selain kepercayaan terhadap perkara mistik ketika itu masih kuat.
  
 "Kes membabitkan pekerja kilang, biasanya berlaku pada waktu malam dan dipercayai kerana faktor keletihan selain ketakutan apabila sering disogok dengan cerita hantu sehingga mengganggu fikiran mereka," katanya.
  
 Baginya kajian khusus mengenai kes histeria di sekolah sejak kebelakangan ini bagi menilai sama ada ia satu epidemik atau tidak, selain melihat bagaimana ia boleh berlaku di sekolah walaupun masyarakat Malaysia kini semakin maju.
  
 "Setiap sekolah yang sering berlaku kejadian histeria perlu merujuk masalah ini kepada pakar psikologi, kaunselor dan psikiatri kerana penyakit ini bermula daripada tekanan dan gangguan mental yang tidak terkawal. Bagaimanapun, saya tidak menafikan keperluan menggunakan pakar agama atau bomoh bertauliah untuk merawat penyakit ini," jelasnya.
  
 Pensyarah Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Abd Ghafar Don, berkata histeria mengikut perspektif Islam merujuk kepada keadaan manusia tidak sedar dan dirasuk akibat gangguan emosi, lalu memberi ruang kepada syaitan menguasai akal fikiran.
  
 "Saya tidak menafikan kebanyakan kes histeria yang berlaku membabitkan sekolah agama kerana iblis lebih suka mengganggu emosi orang yang beriman, tetapi hakikatnya ia boleh berlaku di setiap tempat dan kepada sesiapa juga sebenarnya," katanya.
  
 Beliau juga tidak menolak kemungkinan, histeria berlaku kerana manusia mengganggu tempat tinggal atau kawasan makhluk halus yang menyebabkan mereka bertindak balas termasuk merasuk manusia, selain faktor yang diakibatkan oleh masalah psikologi.
  
 "Bagi mengelakkan kejadian sedemikian berlaku, umat Islam perlu mempersiapkan diri dengan sentiasa berzikir, membaca al-Quran, mengamalkan tiga Qul dan ayat Kursi sebagai pendinding. Sekolah wajar memperbanyakkan program kerohanian seperti majlis bacaan Yasin, qiamulail dan solat hajat, bukan pada bulan tertentu saja," katanya.
  
 

No comments:

Post a Comment