Thursday, December 5, 2013

Tahfiz Lil Aytam Didik Jiwa Belia


TAHFIZ Lil Aytam di Lorong Melati, di sini, mempunyai kaedah tersendiri membantu ibu bapa yang tinggal di kawasan berdekatan memanfaatkan cuti persekolahan anak mereka.
  Ini dilakukan dengan penganjuran beberapa program keagamaan bermula minggu lalu, antaranya Kem Asas Tahfiz, yang disertai lebih 75 kanak-kanak sekitar Selangor dengan matlamat utama melahirkan generasi muda yang memahami asas Islam.
  Pengetuanya, Susi Nurani Razikin, berkata program tahunan kali kedua selama sebulan itu mendapat sambutan menggalakkan apabila seramai 75 pelajar berusia antara tujuh hingga 20 tahun menyertainya.
  Katanya, menerusi program ini, kanak-kanak mengikuti ceramah motivasi, amali asas solat dan semua perkara berkaitan fardu Ain dan Kifayah, selain berpeluang menunggang kuda, memanah, berenang dan berkebun.
  “Kami sentiasa berusaha membantu ibu bapa mengelakkan generasi muda terjebak gejala sosial, terutama sepanjang cuti persekolahan dengan menjadikan aktiviti keagamaan sebagai teras pendidikan dalam keluarga,” katanya di sini, semalam.
  Program itu dikendalikan 22 tenaga pengajar dan mengenakan bayaran RM550.
  Berdasarkan pengalaman menganjurkan program berkenaan sebelum ini, Susi berkata, kebanyakan pelajar yang menyertai program itu berjaya mendapat manfaat apabila mampu membaca al-Quran dengan baik dan mendapat pujian ibu bapa.

No comments:

Post a Comment